KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mencadangkan kerajaan Malaysia supaya melakukan pencelahan dalam pembicaraan kes tuntutan Afrika Selatan ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan segera.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid memberitahu, ia adalah usaha untuk mendapatkan keputusan yang lebih adil serta mengukuhkan hujah gencatan senjata.

Katanya, keputusan mahkamah antarabangsa itu tidak nampak ke arah untuk menghentikan perang di Gaza sebaliknya hanya mengakui Israel cenderung melakukan genosid.

"Kami berpendirian apa yang jelas ialah keputusan ini tidak menyebut sepatahpun mengenai gencatan senjata.

"Padahal  terbukti keganasan Israel jelas bersalah atas jenayah genosid yang mengorbankan ribuan rakyat awam di Gaza. 

"ICJ telah mendengar bukti Afrika Selatan yang tidak dapat disangkal oleh Israel. Apa yang dihujahkan oleh Israel hanya mencabar bidang kuasa ICJ dan mengulangi hak mempertahankan diri," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut,  Mohd Azmi menyifatkan keputusan ICJ yang mengarahkan Israel supaya tidak menghilangkan bukti-bukti genosid di Gaza bermakna ICJ menerima fakta ada perlanggaran Konvensyen Genosid 1948.

Malah katanya, ICJ telah mengarahkan Israel untuk menghukum mereka yang mengisytiharkan niat genosid yang dikeluarkan oleh pimpinan tertinggi Israel.

"Apakah ini akan dipatuhi oleh Israel?," soalnya.

Juteru katanya, Mapim berpendapat, masyarakat dunia tidak perlu terlalu mengharapkan pembelaan ICJ dan bantahan perlu diteruskan, selain meningkatkan tekanan kepada Israel.

Menurut Mohd Azmi, ICJ membuat keputusan yang dianggap menyebelahi tuntutan Afrika Selatan, tetapi mahkamah antarabangsa itu gagal menangani isu pokok.

"Serangan Israel yang terus berlaku tidak dihalang dan Israel tidak dipertanggungjawabkan terhadap jenayah perang dan jenayah genosid yang jelas dilakukan terang-terangan," ujarnya.

Pada prosiding yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia Arab dan di Israel pada Jumaat, ICJ mengarahkan Israel menghentikan sebarang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin dan membantu lebih ramai orang awam yang menderita.

Bagaimanapun, ia tidak mengarahkan gencatan senjata seperti yang diminta oleh Afrika Selatan, yang memfailkan kes itu.

Sebelum ini, Afrika Selatan meminta ICJ memberikan langkah kecemasan untuk menghentikan pertempuran berikutan lebih 26,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel, menurut pihak berkuasa di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Dalam perkembangan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengalu-alukan keputusan ICJ untuk tidak mengarahkan gencatan senjata tetapi menolak dakwaan genosid sebagai keterlaluan dan Israel akan terus mempertahankan dirinya selain berusaha mengelak korban awam.