KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, dilepaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan rasuah RM2.8 juta, akan diketahui di Mahkamah Sesyen di sini pada jam 3 petang Jumaat.

Pertuduhan adalah membabitkan suapan bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan disampaikan oleh Hakim Rozina Ayob selepas mahkamah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada 24 Jun lalu.

Mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan serta penghujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan keputusan.

Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, Bung Moktar selaku tertuduh pertama manakala, Zizie Izette tertuduh kedua akan diperintah untuk membela diri.

Bagaimanapun, jika pendakwaan gagal menimbulkan prima facie, pasangan suami isteri itu akan dilepaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Prosiding kes ini bermula pada 2 Januari 2020 dengan pendakwaan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

Antara yang hadir ke mahkamah ialah saksi pendakwaan kedua (SP2) bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof; SP5, Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Dr Habibah Suleiman serta dua ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid (SP24) dan SP25, Norhaili Ahmad Mokhtar.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Siti Noor Hafizan Zakaria.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Semasa prosiding terdahulu, Chin How menghujahkan bahawa kedua-dua tertuduh itu memainkan peranan bagi melengkapkan transaksi pelaburan Felcra Berhad ke dalam Public Mutual Fund.

Malah katanya, ia berada dalam pengetahuan Bung Moktar yang akan mendapat manfaat kewangan daripada pelaburan itu.

Walaupun pembelaan cuba menafikan perkara itu dengan mendakwa wang berkenaan sebagai bayaran pengenalan, pendakwaan beranggapan ia tidak masuk akal.

Menurutnya, mustahil SP24 dan SP25 sanggup membayar RM2.8 juta kepada Zizie, sedangkan jumlah itu separuh daripada komisyen yang diterima.

Athimulan pula menghujahkan bahawa, keterangan SP24 dan SP25 tidak menyebut pemberian suapan kepada anak guamnya menerusi tertuduh kedua.

Bagi mengekalkan pertuduhan beliau berkata, pendakwaan perlu membuktikan suapan sudah dibayar, diterima dan diperoleh.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi melalui Zizie Izette.

Bung Moktar dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama antara jam 12.16 hingga 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang merupakan seorang pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di lokasi, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian