KUALA LUMPUR: Keputusan kes saman Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi berhubung kenyataan didakwa berunsur fitnah dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose akan diketahui pada 31 Okt ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Vishnu Kumar yang mewakili Sultanah Nur Zahirah dan peguam Americk Sidhu yang mewakili Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

"Keputusan kes saman ditetapkan pada 31 Okt ini, 4 petang," kata Lee pada prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian.

Seramai lima saksi terdiri daripada tiga saksi plaintif termasuk Sultanah Nur Zahirah dan dua defendan selesai memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 1 Ogos lepas.

Pada 28 Mac lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk menangguhkan perbicaraan kes saman itu.

Sultanah Nur Zahirah, yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu serta menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, atau Low Taek Jho, menjadi penasihat TIA.

Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku itu dan pencetak berhenti mencetaknya.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Rewcastle-Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa baginda terlibat dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB.

-- BERNAMA