KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 26 Julai depan bagi menentukan keputusan kes saman fitnah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Ia berhubung kenyataan Jamal terhadap Teresa mengenai dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) lima tahun lalu.

Dalam prosiding, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin menetapkan keputusan itu selepas pihak plaintif menutup kesnya hari ini.

Pihak plaintif mengemukakan dua saksi termasuk Teresa dan seorang wartawan, Annabelle Lee.

Manakala Jamal tidak diwakili peguam dan meminta agar penangguhan kes dibuat kerana beliau memerlukan masa melantik peguam baharu mewakilinya.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan penangguhan atas alasan kes telah berlanjutan lima tahun sejak difailkan pihak plaintif.

Mahkahamh turut memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis berhubung liabiliti dan kuantum pada 15 Jun ini serta hujahan balas pada 22 Jun depan.

Teresa memfailkan saman terhadap Jamal pada 6 April 2017 berhubung kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu terhadapnya mengenai dana Yawas dalam satu sidang media pada 8 Mac tahun yang sama.

Dakwanya kenyataan fitnah itu antara lain memberi gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Pihak plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injuksi bagi menghalang defendan atau mana mana ejennya menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.