Keputusan kes saman pemula Tian Chua ditetapkan esok

Rahimah Abdullah
Mei 3, 2018 04:40 MYT
Tian Chua dalam afidavit sokongannya memohon pengisytiharan mahkamah berhubung kelayakannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada PRU14. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Mahkamah Tinggi menetapkan esok bagi membuat keputusan berhubung permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menolak saman pemula yang difailkan penyandang kerusi Parlimen Batu, Tian Chua.
Naib Presiden PKR itu, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, telah memohon deklarasi bahawa beliau layak bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Terdahulu, Tian Chua hadir di Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-kuasa Khas (RKK) kira-kira jam 9.45 pagi bagi pendengaran kes saman pemula terhadap Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain.
Prosiding pendengaran bermula jam 10.30 pagi.
Kes didengar di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan.
Anwar pada hari penamaan calon Sabtu lalu menolak pencalonan Tian Chua bertanding kerusi Parlimen itu berdasarkan Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan 1948.
Alasan yang diberikan ialah hilang kelayakan selepas disabitkan dengan kes mahkamah kerana menghina pegawai polis, empat tahun lalu.
Isnin lalu, Tian Chua memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Ngeow dan Tan.
Tian Chua dalam afidavit sokongannya memohon pengisytiharan mahkamah berhubung kelayakannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagaimana ditetapkan dalam Artikel 48 (1) Perlembagaan.
Beliau turut memohon pengisytiharan sebagai calon yang layak bertanding serta perintah lanjut yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Sabtu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak penamaan calon Tian Chua selepas hilang kelayakan akibat didenda RM2,000 susulan disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menghina pegawai polis, empat tahun lalu.
Mengikut writ saman, Tian Chua mendakwa, berdasarkan undang-undang, hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.
Katanya, pada PRU13, dokumen penamaan calonnya diterima dan dibenarkan bertanding walaupun ketika itu beliau mempunyai hukuman denda RM2,000.
#Batu #calon #hilang kelayakan #kerusi #mahkamah #Mahkamah Tinggi #MalaysiaMemilih #Parlimen #pegawai pengurus pilihan raya #pengisytiharan mahkamah #Perlembagaan #pilihan raya umum #PKR #PRU14 #Rayuan Kuasa-kuasa Khas #RO #saman pemula #Tian Chua