KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa supaya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai satu kesalahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung kesan dan implikasi keputusan tersebut.

Jelas beliau lagi, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jakim juga telah diarahkan untuk bersidang dan berbincang bagi melihat ruang penambahbaikan undang-undang Syariah yang boleh dilaksanakan, khususnya  berkenaan dengan kesalahan jenayah Syariah.

"Saya menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia menghormati penghakiman yang diputuskan dan tidak mencetuskan spekulasi dari penghakiman tersebut.

"Semua pihak diminta bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat, serta boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara kita yang tercinta ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

BACA: Undang-undang syariah seks luar tabii Selangor tidak sah - Mahkamah Persekutuan

Jelas Dr Zulkifli, sudah pasti penghakiman berhubung kes tersebut dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan panel hakim berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjunjung Islam sebagai
agama bagi Persekutuan, menjadikan kedudukan agama Islam di negara ini lebih istimewa berbanding agama lain.

"Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes-kes
terdahulu.

"Sebagai seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, prinsip Perlembagaan ini akan terus dijunjung dan dipertahankan," katanya.

Pada 25 Februari lalu, barisan panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang berhubung kesalahan seks luar tabii.

Penghakiman antara lain menyebut seksyen tersebut belum secara sah digubal oleh badan perundangan negeri Selangor, selain perkara yang dibahas dalam seksyen tersebut hanya boleh digubal melalui Parlimen.