MALAYSIA

Keputusan kes Zayn Rayyan akan diketahui esok

Yasmin Natasha 20/07/2025 | 03:15 MYT
Keputusan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin dibebaskan atau diperintah membela diri atas satu kes pengabaian kanak-kanak autisme, akan diputuskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Isnin.
KUALA LUMPUR: Keputusan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin dibebaskan atau diperintah membela diri atas satu kes pengabaian kanak-kanak autisme, akan diputuskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Isnin.

Keputusan dijangka diumumkan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh yang akan membaca keputusan di akhir kes pendakwaan, pada jam 9 pagi.

Sekiranya mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf akan dibebaskan serta-merta.

Pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu akan diperintahkan untuk membela diri sekiranya mahkamah berpendapat sebaliknya, bagi menyangkal pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah kemudian akan memberikan tiga pilihan kepada tertuduh.

Bagi pilihan pertama ialah memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh, yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal balas keterangan tersebut.

Pilihan kedua ialah memberi keterangan tanpa bersumpah dari kandang tertuduh, dan dalam kes ini, pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas.

Manakala pilihan ketiga ialah memilih untuk berdiam diri dan tidak memberi sebarang keterangan sebagai jawapan terhadap pertuduhan.

Namun, tidak mustahil juga mahkamah memutuskan hanya seorang daripada mereka perlu membela diri, manakala seorang lagi dibebaskan serta-merta.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen, di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.




#Mahkamah Sesyen #suami isteri #Zayn Rayyan #kanak-kanak autisme