Keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam dapat membersihkan nama dan imej Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak serta barisan ahli jawatankuasanya.

Yang Dipertua DPPM Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, dengan keputusan itu juga, membolehkan pihaknya menumpukan kepada usaha untuk membangunkan usahawan Melayu di negeri ini.

Beliau mengakui, kes mahkamah yang telah berlanjutan sejak kira-kira tujuh tahun lalu, serba sedikit telah menjejaskan fokus DPPM Perak kerana pra-sangka di kalangan ahli-ahli, pemimpin dan agensi kerajaan.

"Selepas ini, kami berharap agar tidak ada lagi gangguan bagi membolehkan kami meneruskan agenda untuk membangunkan usahawan Melayu di Perak.

"Kami juga berharap akan mendapat kerjasama daripada pemimpin dan ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan untuk meneruskan usaha yang lama terjejas,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis memutuskan bahawa keputusan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pada 6 Ogos 2013 untuk membubarkan DPMM Cawangan Perak yang dipimpin Muhiyuddin ketika itu, adalah tidak sah.

Mahkamah juga memutuskan bahawa keputusan ahli jawatankuasa DPMM Cawangan Perak ketika itu untuk membubarkan DPMM Cawangan Perak (asal) pada 28 Ogos 2013 dan menubuhkan DPPM Perak adalah sah.

Mahkamah turut memutuskan segala tindakan untuk proses pembubaran itu seperti mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 3 September 2013 dan memfailkan permintaan untuk dibatalkan perakuan pendaftaran pada 13 September 2013 telah dilaksanakan mengikut Akta Pertubuhan.

Selain itu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan segala proses pindahmilik harta daripada DPMM Cawangan Perak (asal) kepada DPPM Perak juga adalah sah dan mengikut perlembagaan.

Mahkamah mendapati pihak plantif, Datuk Sabri Ahmad Tah selaku Yang Dipertua DPMM Negeri Perak (baharu) dan Hanafee Yusof selaku Setiausaha Agung DPMM gagal membuktikan yang mereka merupakan organisasi yang sah untuk memperolehi hartanah tersebut.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan plantif-plantif membayar kos mahkamah sebanyak RM50,000.

Muhiyuddin berkata, keputusan itu adalah satu vindikasi kepada defendan-defendan terhadap tuduhan melakukan kesalahan dengan tidak mematuhi Akta Pertubuhan dan Perlembagaan DPMM.

"Tohmahan-tohmahan yang tidak berasas oleh plantif terhadap defendan-defendan terbukti tidak benar," ujarnya.