KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa dibebaskan terhadap pertuduhan dihadapinya jelas membuktikan pendakwaan yang dibuat bermotifkan politik.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) dihadapi melibatkan dana Yayasan Akalbudi adalah bertujuan membunuh karier politiknya.

Kata beliau, keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan dirinya pada Isnin menunjukkan tuduhan bermotif politik dibuat selama ini sudah berjaya dihentikan.

"Selepas ini menjadi tugas untuk kepimpinan BN serta UMNO memulihkan persepsi rakyat terhadap segala bentuk tuduhan politik selama ini yang dilemparkan.

"Tugas kami dalam UMNO dan BN adalah untuk meneruskan perjuangan ini supaya lemparan tuduhan yang selama ini bermotifkan politik dapat dihentikan," katanya pada sidang akhbar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Terdahulu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid sehingga peringkat ini.

Ahmad Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ucapan ribuan terima kasih ditujukan kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan kepadanya.

Jelasnya, semua pihak daripada seluruh barisan kepimpinan UMNO dan BN telah memberi sokongan padu kepadanya sepanjang menghadapi perbicaraan kes tersebut.

Tegasnya, segala perjuangan parti harus diteruskan tanpa mengambil kira tekanan diberikan.

"Saya secara peribadi bersama rakan dalam kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan terus bersama pengerusi perhubungan (negeri), ketua bahagian dan ketua cawangan pada pelbagai peringkat untuk meneruskan perjuangan parti.

"Saya ucapkan terima kasih atas dokongan rakan dalam MKT yang mana parti komponen BN juga sudah memberikan sokongan moral kepada saya," ujarnya.

Ahmad Zahid diiringi penyokong setia, ahli keluarga dan pemimpin UMNO sepanjang pembicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Selain melaung kata semangat, kumpulan penyokong turut mendoakan kejayaan Ahmad Zahid di dalam perjuangan parti. - Sinar Harian