KUALA LUMPUR: Ada hikmah di sebalik keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 baru-baru ini.

Peguam, Datuk Salehudin Saidin berkata, dengan keputusan itu, kerajaan sedar ada pertindihan bidang kuasa melibatkan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Menurutnya, fokus selepas ini adalah memperkemaskan perkara di bawah bidang kuasa kedua-dua mahkamah tersebut.

“Keputusan mahkamah persekutuan ini...ada hikmah di sebaliknya. Barulah sekarang kita sedar, bila ada pertindihan, kita boleh memperkemaskan apa yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Kita perkemaskan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan atau apa-apa akta yang digubal di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi maksud memperjelaskan apakah yang boleh didengar oleh Mahkamah Syariah, apa yang tidak boleh didengar,” katanya.

Dalam masa sama, menurut beliau, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) melalui Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan akan meneliti dari aspek mengkaji pertindihan tersebut.

“Bahkan mereka juga melihat apakah caranya untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Inilah peluang untuk kita sekali gus mengenalpasti apakah tindakan yang boleh diambil bagi memastikan tiada pertindihan pada masa akan datang.

“Ia juga dapat memperkemas bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya tidak dikatakan kedudukannya berada jauh di bawah, jauh daripada Mahkamah Sivil.

“Ini saya rasa satu hikmah yang amat baik untuk umat Islam di Malaysia ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menolak tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa peruntukan di bawah Mahkamah telah diambil Mahkamah Sivil berikutan keputusan itu.

Titah Sultan Selangor supaya hormati keputusan Mahkamah Persekutuan

“Dalam Perlembagaan, Jadual 9, telah jelas menetapkan bahawa apakah bidan gkuasa yang diletakkan hak kepada Kerajaan Persekutuan dan apakah yang diletakkan hak kepada Kerajaan Negeri yang boleh digubal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI pada Khamis.

Astro AWANI pada Khamis melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan rakyat Malaysia harus sentiasa mendokong kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Titah Baginda, perkara lebih penting sekarang adalah berusaha mencari jalan dalam mengatasi permasalahan yang timbul dengan mengkaji dan memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah.

Baginda bertitah demikian dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-71 di Putrajaya pada Khamis yang dikongsikan menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office.