Keputusan mengenai AES dalam masa dua bulan

Bernama
Jun 12, 2018 12:46 MYT
Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan keputusannya mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dalam satu atau dua bulan selepas perkara itu dibawa ke Kabinet, kata menterinya Anthony Loke. Foto: Bernama
Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan keputusannya mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dalam satu atau dua bulan selepas perkara itu dibawa ke Kabinet, kata menterinya Anthony Loke.
"Saya tidak mahu mengambil tindakan awal. Tetapi Kementerian akan mencapai keputusan kerana kita perlu membuat keputusan mengenai AES," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Beliau enggan mengulas sama ada AES akan dimansuhkan atau tidak.
Loke berkata pegawai Kementerian Pengangkutan dan jabatan-jabatan berkaitan akan menyediakan cadangan konkrit dan beliau akan membincangkan opsyen dengan para pegawai tersebut sebelum membawa perkara itu ke Kabinet.
"Kementerian perlu mengkajinya dahulu sebelum membuat pengumuman. Banyak orang belum membayar saman mereka dan bagi mereka yang mempunyai saman tertunggak, tiada tindakan diambil," kata beliau.
Pada Ogos tahun lepas, sebanyak 21 kamera AES dipasang di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara dan lebih banyak kamera akan dipasang di kawasan-kawasan yang mudah berlaku kemalangan.
Pada sidang media hari ini, Loke juga menerima sumbangan RM2 juta untuk Tabung Harapan Malaysia daripada Seri Pajam Development Sdn Bhd yang diserahkan oleh Ketua pegawai Kewangannya Tey SL.
Turut menyumbang RM1,500 kepada Tabung Harapan Malaysia ialah sekumpulan pemandu teksi Cameron Highlands yang diwakili oleh M. Manogaran, calon Pakatan Harapan di Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata satu kontrak perhubungan awam bernilai RM808,000 bagi tujuan 'ministerial communications' selama tujuh bulan mulai Januari 2018 untuk Menteri Pengangkutan sebelum ini termasuk penulisan kolum mingguan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris, dibatalkan baru-baru ini.
"Tidak ada bayaran dibuat setakat ini dan syarikat yang terbabit belum membuat tuntutan. Tetapi saya tidak memerlukan publisiti seumpama itu kerana saya boleh membuat sidang akhbar setiap hari dan ia adalah percuma," katanya.
-- BERNAMA
#AES #Anthony Loke #Kementerian Pengangkutan #mansuh aes #Sistem Penguatkuasaan Automatik