[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
MALAYSIA

Keputusan PRK Kinabatangan, Lamag dijangka diketahui seawal 10 malam Sabtu ini - SPR

Bernama 20/01/2026 | 03:10 MYT
Ramlan bersama Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt D. Ravi (kanan) ketika meninjau proses pengundian awal bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan. - Foto BERNAMA
KINABATANGAN: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dijangka diketahui seawal 10 malam pada Sabtu ini (24 Jan).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata jangkaan masa itu mengambil kira faktor geografi serta kedudukan pusat-pusat pengundian yang terletak agak jauh, khususnya di kawasan pedalaman.

"SPR memberi jaminan semua peti undi akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sri Lamag mengikut masa yang ditetapkan. Sebenarnya tiada alasan, semua peti undi kena ada di pusat penjumlahan rasmi undi.

"Biarpun kita (SPR) tahu ada pusat mengundi yang menggunakan perkhidmatan helikopter dan bot tetapi kita telah mengambil langkah sebaik mungkin bagi memastikan semua peti undi sampai ke pusat penjumlahan undi," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi awal bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan di sini hari ini.

Ramlan berkata cabaran utama PRK kali ini ialah keadaan cuaca yang tidak menentu serta keperluan logistik khas termasuk penggunaan perkhidmatan helikopter di lapan pusat mengundi manakala pengangkutan bot bagi sebuah pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Tundun Bohangin untuk membawa peti undi dari kawasan terpencil ke pusat penjumlahan rasmi.

Bagi mengelak insiden peti undi terkandas akibat cuaca buruk seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lepas, beliau berkata SPR telah mengambil langkah proaktif dengan menutup lebih awal beberapa pusat mengundi di kawasan pedalaman.

"Kita telah pun mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada PRN baru-baru ini iaitu ada satu pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Keramuak (lambat dibawa keluar peti undi akibat cuaca buruk). Sebelum ini pusat pengundian tersebut kita tutup pada 3 petang tetapi (bagi PRK ini) kita telah awalkan kepada 2 petang.

"Jadi saya harap pengundi-pengundi di kawasan tersebut peka dengan perubahan itu dan kita harap pengundi-pengundi boleh keluar awal pada 24 Jan nanti sebab selalunya cuaca akan menjadi lebih buruk pada sebelah petang," katanya.

SPR turut meningkatkan kesiapsiagaan dari segi teknikal termasuk penyediaan kemudahan Starlink bagi memastikan capaian Internet yang stabil serta sokongan bekalan elektrik yang mencukupi sepanjang proses penjumlahan undi berlangsung.

Dalam pada itu, Ramlan berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi melebihi 65 peratus bagi kedua-dua PRK berkenaan.

Mengenai undi awal, beliau berkata daripada 196 anggota polis, sebanyak 189 anggota menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal, manakala tujuh lagi mengundi secara pos.

Setakat 9 pagi ini, katanya sebanyak 38 anggota atau 20.1 peratus telah selesai mengundi bagi PRK Kinabatangan manakala 44 anggota atau 23.4 peratus untuk DUN Lamag.

Sementara itu, Ramlan berkata setakat semalam tiada sebarang aduan yang diterima berkaitan dengan kesalahan pilihan raya.

"Namun saya difahamkan pada pagi ini ada satu aduan yang telah pun diterima. Saya belum dapat lagi laporan rasmi. Secara umumnya, proses pilihan raya kali ini berjalan dengan amat baik, tertib, lancar dan tiada sebarang insiden yang serius yang telah berlaku," katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut dengan keseluruhan 48,722 pengundi berdaftar, manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.

Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran akan digunakan pada kedua-dua PRK berkenaan.

-- BERNAMA




#PRK Kinabatangan #PRK Lamag #keputusan #SPR