KUALA LUMPUR: Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dijangka memberikan keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengetepikan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram (AMLA) esok (Isnin).

Sebelum ini, panel tersebut, yang dipengerusikan Datuk Seri Kamaluddin Md Said, dan bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, pada 26 Ogos lepas menangguhkan keputusan itu selepas bekas Pengerusi Tabung Haji itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketika ini prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, ditangguhkan sementara rayuan Abdul Azeez didengar di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pada 26 Ogos lepas, Kamaluddin berkata, beliau dan rakan-rakan panelnya sudah mempunyai keputusan berhubung rayuan itu.

Namun ia ditangguhkan selepas peguam utama Ahli Parlimen Baling itu, Amer Hamzah Arsyad memaklumkan bahawa anak guamnya dikejarkan ke hospital akibat acute gastroenteritis.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang mengendalikan pendakwaan pada hari tersebut, Ku Hayati Ku Haron memaklumkan dua lagi TPR tidak dapat hadir, iaitu Aslinda Ahmad dan Nik Haslinie Hashim.

Ku Hayati berkata, ketika itu Nik Haslinie sedang menjalani kuarantin akibat COVID-19, manakala Aslinda berada di Melaka untuk menerima pingat sempena ulang tahun ke-73 Yang Di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Dalam pada itu, Amer Hamzah memaklumkan ketika ini pembelaan masih menunggu jawapan balas pihak Jabatan Peguam Negara berhubung empat surat representasi untuk pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan prosiding di Mahkamah Sesyen yang dikendalikan Hakim Azura Alwi bermula 19 Ogos 2020, telah selesai mendengar keterangan dari tujuh orang saksi.

Prosiding di peringkat Mahkamah Rayuan itu juga telah tertangguh beberapa kali, selepas Amer Hamzah memaklumkan pihak pembelaan sehingga hari tersebut masih gagal mendapat maklum balas dari Jabatan Peguam Negara berhubung surat representasi anak guamnya.

Abdul Azeez ketika ini berhadapan dengan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Projek itu dilaporkan melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Azeez didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibu negara pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.

Selain itu dia turut didakwa atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.