KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kesalahan berhubung pembelian sebuah hotel di Sarawak ditangguhkan ke tarikh lain.

Penangguhan itu dibuat Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera mendengar penghujahan pihak-pihak dalam rayuan pada Isnin.

Peguam mewakili Mohd Isa, Datuk Salehuddin Saidin berhujah Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika anak guamnya disabitkan atas kesalahan rasuah kerana mencapai dapatan bercanggah antara satu sama lain.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah menimbang keterangan pendakwaan bahawa perayu terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah yang meluluskan pembelian hotel berkenaan, serta wang RM3 juta diterima perayu sebagai upah meluluskan pembelian terbabit.

Pada 3 Februari 2022, Mohd Isa, 74, disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Kuching.

Dia didakwa menerima rasuah terbabit daripada ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi pegawai politiknya Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih membantu meluluskan pembelian hotel pada harga RM160 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda di ibu negara antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun terhadapnya jika gagal membayar denda berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.