KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Mac untuk keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad terhadap sabitan, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta bagi kesalahan rasuah.

Peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd Isa berkata, tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar (PKP) Mahkamah Rayuan, Huda Humaira Idris semasa pengurusan kes secara sidang video menerusi aplikasi Zoom pada Selasa.

"Keputusan rayuan (Tan Sri Mohd Isa) pada 31 Januari ini telah dilapangkan oleh mahkamah dan tarikh keputusan ditukar kepada 6 Mac.

"Saya juga dimaklumkan oleh PKP bahawa ada antara panel hakim bercuti sakit pada tarikh 31 Januari itu,” kata Siti Sarah ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz semasa dihubungi mengesahkan perkara itu.

Pada 14 Oktober tahun lepas, panel itu menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan pembelaan dan pendakwaan.

Mohd Isa, 73, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 terhadap sembilan pertuduhan rasuah membabitkan amaun sebanyak RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan 54 tahun dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dan ini bermakna Isa hanya perlu menjalani hukuman itu selama enam tahun.

Isa, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, memfailkan notis rayuan pada 4 Februari 2021.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes itu selesai.

- BERNAMA