PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusan dalam kes membabitkan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad terhadap sabitan, hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta bagi kesalahan rasuah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M.Komathy Suppiah pada asalnya dijadual mengumumkan keputusan mereka esok.

Seorang peguam yang mewakili Isa, Siti Sarah Khalil, ketika dihubungi Bernama berkata pembelaan menerima notis daripada mahkamah memaklumkan bahawa prosiding yang dijadual berlangsung esok telah dilapangkan dan akan diganti dengan pengurusan kes untuk menetapkan tarikh baharu.

Pada 14 Okt lepas, panel itu menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan pembelaan dan pendakwaan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur di antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan 54 tahun dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dan ini bermakna Isa hanya perlu menjalani hukuman itu selama enam tahun.

Isa, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, memfailkan notis rayuan pada 4 Feb 2021.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1.5 juta dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan kes itu selesai.

-- BERNAMA