MALAYSIA

Keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Isa Samad ditetap 10 Feb ini

Bernama 05/02/2026 | 07:31 MYT
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ketika sidang media selepas prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya daripada sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta di Mahkamah Persekutuan, hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Feb ini bagi keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad, daripada sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata mahkamah memerlukan masa untuk meneliti hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, selain penghakiman Mahkamah Rayuan.

"Kami menetapkan 10 Feb, jam 9 pagi bagi keputusan ini," katanya.

Panel hakim itu yang turut dianggotai Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, sebelum itu mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang mengetepikan sabitan Mahkamah Tinggi terhadap Mohd Isa serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.

Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa, 77, bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 15 Julai 2014 hingga 15 Dis 2015.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.

Pada sesi pendengaran rayuan hari ini, pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing mengemukakan hujahan yang berlangsung kira-kira 45 minit.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, berhujah bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan Mohd Isa menerima suapan sebanyak sembilan kali daripada Ikhwan melalui bekas pegawai khasnya antara Julai 2014 hingga Disember 2015.

Beliau berkata pendakwaan turut mengemukakan bukti bahawa susulan pertemuan antara Ikhwan dan Mohd Isa, bekas Pengerusi Felda itu secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid supaya meminta suapan daripada Ikhwan, dan Muhammad Zahid melaksanakan arahan itu.

Afzainizam berkata suapan itu diberikan oleh Ikhwan kepada Muhammad Zahid, yang kemudian menyerahkan kepada Mohd Isa secara berperingkat di pejabat beliau di Felda.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memohon Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan sabitan terhadap Mohd Isa atas pertuduhan rasuah.

Afzainizam berkata bahawa Mahkamah Tinggi mendapati walaupun tiada bukti bahawa siasatan menemui wang suapan dalam milikan atau kawalan Mohd Isa, perkara itu tidak perlu dibuktikan dalam pertuduhan menerima rasuah mengikut prinsip undang-undang yang sedia ada.

Dalam jawapan balas, peguam Mohd Isa, M.M Athimulan, berkata bahawa Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kesilapan undang-undang apabila membatalkan sabitan bersalah terhadap anak guamnya.

"Dapatan Mahkamah Rayuan bahawa tiada bukti kukuh bahawa Mohd Isa telah meluluskan, mengarahkan atau mempengaruhi keputusan Lembaga FICSB telah meruntuhkan keseluruhan kes pendakwaan. Ini adalah dapatan fakta bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan responden (Mohd Isa) melakukan perbuatan yang didakwa bagi mana suapan itu dikatakan diterima," katanya.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan tepat apabila menilai bahawa kesimpulan hakim perbicaraan bahawa permintaan Mohd Isa untuk menyampaikan 'salam' membawa maksud tersirat menuntut suapan adalah spekulatif dan tidak disokong oleh bukti langsung.

-- BERNAMA






#Mahkamah Persekutuan #rayuan pendakwaan #pembebasan Isa Samad #tuduhan rasuah #terkini