KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 18 April untuk keputusan rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadapnya atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.



Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam S. Devanandan yang mewakili Peter selaku perayu dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

"SP8 dalam keterangannya mengesahkan beliau menandatangani surat itu bagi pihak Naib Canselor UMS
Prof Datuk Dr Mohamad Harun Abdullah (SP1), namun SP1 dalam keterangannya berkata, beliau tidak pernah memberi kuasa untuk SP8 menandatangani surat tersebut.


"Oleh itu, perayu tidak terlibat dalam perkara ini dan saya mohon rayuan perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dibenarkan oleh mahkamah," katanya.

Wan Shaharuddin pula berhujah bahawa hakim bicara telah meneliti keterangan mengikut keadaan bagi mensabitkan tertuduh, bergantung kepada dua perkara iaitu siapa yang bakal memperoleh keuntungan sekiranya projek penyelenggaraan itu diawadkan kepada mana-mana pihak dan siapa mempunyai peluang dalam memalsukan surat berhubung projek tersebut.

"Hakim bicara telah membuat dapatan bahawa elemen pemalsuan telah selesai atau lengkap apabila surat berkenaan diserahkan kepada arwah Datuk Azlin Alias yang ketika itu Ketua Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan sokongan daripada bekas perdana menteri tersebut.

"Ini menunjukkan perayu (Peter) merupakan 'maker' kepada surat itu dan bukannya SP8," katanya.

Menurut Wan Shaharuddin, perayu mengetahui projek tersebut ditawarkan secara 'tender terbukar' tetapi dia telah menipu dan berniat untuk 'merampas' (hijack) projek tersebut.

"Ketika membela diri, tertuduh sendiri mengaku bahawa menjadi amalan biasa untuk 'hijack' projek di negara ini meskipun ia ditawar secara 'tender terbukar'. Ia amat menyedihkan...Oleh itu, pihak pendakwaan mohon mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya," kata Wan Shaharuddin.

Pada Jun tahun lepas, Peter, 52, memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada 26 Mei 2022 selepas mendapati dia bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu telah membayar denda RM50,000.

-- BERNAMA