KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 30 Mei depan untuk memutuskan sama ada bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan menggunakan kedudukan dalam mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Rozman di akhir kes pendakwaan.

Rozman, 59, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Ahmad Feisal berhujah berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, tertuduh bukan sahaja tidak mengisytiharkan beliau mempunyai kepentingan di dalam LLPM, malah keterangan saksi jelas menunjukkan tertuduh hadir dan mengambil bahagian di dalam perkara melibatkan syarikat itu.

Beliau berkata Rozman juga telah menggunakan jawatannya ketika itu, selaku Timbalan Pengerusi LPL dengan memilih LLPM sebagai operator sementara yang mana beliau mempunyai kepentingan apabila bapa dan adik lelakinya adalah pemegang saham dalam LLPM.

"Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, jelas tertuduh mengetahui bahawa ayah dan adiknya pemegang saham di LLPM semasa pembentangan dibuat oleh syarikat tersebut kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan yang turut dianggotai oleh tertuduh," katanya.

Ahmad Feisal berkata terdapat keterangan saksi menunjukkan tertuduh juga telah mencadangkan penangguhan pelantikan pengendali operator pelabuhan kerana terdapat implikasi politik ke atasnya, yang ketika itu Ahli Parlimen Labuan.

Sementara itu, Muhammad Rafique berhujah dalam kesemua mesyuarat Lembaga Pengarah LPL, Rozman tidak pernah mempengerusikan mesyuarat atau mengemudi mesyuarat supaya hanya syarikat LLPM yang dilantik sebagai operator.

"Datuk Rozman bukanlah kuasa tertinggi (numero-uno) dalam hierarki LPL, malah pendapat beliau boleh tidak dipersetujui atau dihalang oleh ahli-ahli lembaga Pengarah yang lain.

"Datuk Rozman juga tidak menghalang pengesyoran Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan LPL agar syarikat LP Multi Terminal Sdn Bhd dilantik sebagai operator," katanya.

-- BERNAMA