Keputusan sebenar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah syarat wajib bagi mengikuti kursus pengajian yang diluluskan Kementerian Pendidikan seperti matrikulasi, prauniversiti, program asasi dan kursus diploma di institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Justeru itu, Kementerian Pendidikan tidak pernah membenarkan keputusan ramalan SPM dijadikan syarat minimum untuk kemasukan ke IPTS.

IPTS mengetahui sepenuhnya mengenai keperluan SPM sebagai syarat kelayakan bagi mengikuti kursus yang diluluskan Kementerian Pendidikan.

Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan hari ini, menjelaskan syarat wajib mengikuti pengajian seperti matrikulasi, prauniversiti, program asasi dan kursus diploma mengikut Seksyen 38 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, memerlukan keputusan sebenar SPM.

IPTS juga tahu bahawa mengambil masuk pelajar menggunakan keputusan ramalan SPM merupakan kesalahan mengikut Seksyen 40(1) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

"Jadi, untuk menyatakan penggunaan keputusan ramalan 'tidak lagi dibenarkan' untuk kemasukan pelajar bagi kursus pengajian yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan, adalah tidak benar," kata Kementerian Pendidikan.

Menerusi surat bertarikh 23 Mei 2014, Kementerian Pendidikan mengingatkan semua IPTS bahawa keputusan ramalan tidak boleh digunakan untuk kemasukan bagi kursus pengajian tinggi.

Penggunaan keputusan ramalan adalah untuk permohonan visa kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia sahaja.

Merujuk kepada laporan media berhubung bantahan persatuan IPTS seperti Persatuan Kolej Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) dan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) terhadap arahan Kementerian Pendidikan untuk tidak membenarkan keputusan ramalan digunakan sebagai syarat kemasukan ke IPTS, kementerian itu menegaskan ia tidak pernah membenarkan amalan itu.

Menurut Kementerian Pendidikan, ia sentiasa prihatin mengenai kualiti perkhidmatan, kualiti sumber dan kualiti amalan oleh IPTS termasuk mengawalseliakan kualiti kursus pengajian dan syarat-syarat ditetapkan selaras dengan amalan terbaik kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia.

Kementerian Pendidikan menyatakan ia memandang serius isu pelanggaran syarat masuk bagi kursus pengajian yang diluluskan IPTS.

Sepanjang 2012 dan 2013, beberapa IPTS telah dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan menggunakan keputusan ramalan SPM untuk mengikuti kursus pengajian tinggi.

Kementerian Pendidikan juga menggalakkan pelajar mengisi masa dengan baik dan ia tidak pernah menahan pelajar lepasan SPM mengikuti kursus jangka pendek yang ditawarkan oleh IPTS sementara menunggu keputusan SPM.