PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan memutuskan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak semula keputusan terdahulu dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd selewat-lewatnya 31 Mac ini.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mengetuai panel lima hakim berkata demikian selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujah masing-masing hari ini pada prosiding yang berlangsung selama enam hari.

"Kami tidak boleh membuat keputusan hari ini. Pihak yang berkenaan akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 31 Mac," katanya.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Bekas Perdana Menteri itu memohon untuk membatalkan keputusan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas, yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International, atau agar rayuannya didengar semula.

Najib, 69, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga telah memfailkan petisyen memohon pengampunan diraja atas sabitannya dalam kes SRC International.

Petisyen itu difailkan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva melalui penghujahan digital dan beliau memohon pembebasan atau perbicaraan semula berikutan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.
- BERNAMA