Skip to main content

Malaysia

Keputusan SPM 2025: Cerminan usaha kolektif dalam pendidikan negara

Sumber: Astro AWANI
kejayaan atau kegagalan dalam SPM perlu dilihat sebagai refleksi kepada usaha bersama dalam memastikan pembangunan potensi anak-anak.

KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bukan sekadar ukuran gred semata-mata, sebaliknya mencerminkan usaha kolektif pelbagai pihak dalam membangunkan sistem pendidikan negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad menegaskan, pencapaian yang diraih pelajar adalah hasil gabungan usaha guru, ibu bapa, komuniti serta kepimpinan pendidikan di semua peringkat.

Advertisement

Menurut beliau, kejayaan atau kegagalan dalam SPM perlu dilihat sebagai refleksi kepada usaha bersama dalam memastikan pembangunan potensi anak-anak.

“Keputusan SPM 2025 menggambarkan usaha kita bersama, daripada guru, pegawai kementerian, ibu bapa, komuniti hinggalah kepada pelajar itu sendiri.

"Jika kita bangga dengan pencapaian ini, maka itulah hasil usaha kita secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas analisis keputusan SPM 2025 di Agenda Awani pada Rabu.

Mohd Azam menjelaskan, pendekatan tersebut penting bagi menilai kemajuan pendidikan secara inklusif, termasuk jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar yang kini semakin mengecil.

“Jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar kini semakin kecil, sekitar 0.41.

"Ini menunjukkan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan dan akses pendidikan yang lebih seimbang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata,  Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lagi menggalakkan budaya ‘ranking’ atau persaingan antara sekolah, sebaliknya memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh pelajar.

“Kita tidak mahu budaya ‘ranking’ dan ‘racing’ ini berterusan. Apa yang penting adalah bagaimana kita meraikan semua anak kita tanpa mengira latar belakang atau jenis sekolah,” katanya lagi.

Must Watch Video