MALAYSIA
Keputusan SPM A- boleh mohon matrikulasi, penilaian merit tetap ada - Fadhlina
Tegas Fadhlina, setiap permohonan kemasukan ke matrikulasi akan melalui proses biasa seperti saringan merit, termasuk Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Timbul spekulasi keputusan A+ dijadikan penanda aras utama dalam penempatan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke program matrikulasi.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan menafikan spekulasi bahawa hanya keputusan A menjadi syarat utama ke matrikulasi, dan menegaskan semua gred A masih diambil kira dalam proses pemilihan berdasarkan merit.
- Permohonan ke program matrikulasi dinilai mengikut merit dan komponen tambahan seperti PAJSK, dengan keutamaan kepada bidang STEM serta pelajar yang paling layak.
- Pelajar yang memperoleh semua A atau A solid dalam 10 subjek diberi kelayakan automatik
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pekeliling sedemikian tidak pernah dikeluarkan kementerian dan semua jenis keputusan A masih diambil kira.
“Tak pernah kita cakap A tolak (A-) tidak cemerlang, cuma kita kena penuhi keperluan merit bagi kemasukan ke matrikulasi.
“Matrikulasi adalah bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), jadi kita kena bagi keutamaan kepada itu (sesiapa paling layak).
“Namun kita tak pernah nyatakan keputusan A tolak tidak layak untuk mohon masuk matrikulasi,” ujar Fadhlina dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2024 di Selayang, Selangor pada Selasa.
Tegas Fadhlina, setiap permohonan kemasukan ke matrikulasi akan melalui proses biasa seperti saringan merit, termasuk Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Kemasukan matrikulasi tahun ini diuruskan dengan sangat baik, 86 peratus yang layak diterima masuk mempunyai keputusan SPM 9A.
“Hanya baki 14 peratus memperoleh keputusan SPM 10A, kita haruslah berlaku adil terhadap anak-anak dalam kategori 86 peratus ini tadi.
“Kita mahu anak kita semua berpeluang masuk matrikulasi berdasarkan keutamaan dan kuota ditetapkan,” jelas Fadhlina.
Katanya lagi, mereka yang memperoleh keputusan SPM semua A+ atau A solid untuk 10 subjek akan dibenarkan memasuki program matrikulasi secara automatik.
“Dasar itu memang sudah ada sebelum ini dan terus kekal, yang lain akan ada penilaian berdasarkan merit,” terang Fadhlina.