Keputusan STAM 2020 diumum Khamis ini - KPM

Bernama
Jun 14, 2021 12:39 MYT
Calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui dua kaedah iaitu secara dalam talian atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 akan diumumkan pada Khamis ini, 17 Jun mulai 10 pagi.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui dua kaedah iaitu secara dalam talian atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Semakan secara dalam talian boleh dilakukan melalui pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh," menurut kenyataan itu.
Semakan menerusi SMS pula boleh dilakukan dengan menaip STAMNoKadPengenalanAngkaGiliran dan hantar kepada 68886 bagi mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan itu.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tersebut akan diaktifkan mulai 10 pagi 17 Jun dan akan ditamatkan pada 6 petang 23 Jun.
Selain itu, bagi calon sekolah mahupun persendirian yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah atau pihak Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon yang terlibat sebelum dimaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan itu.
-- BERNAMA
#STAM 2020 #keputusan #STAM #khamis ini #17 jun #KPM #Kementerian Pendidikan