Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Keputusan tangguh hukuman penjara ibu Zayn Rayyan diketahui 23 Disember

Astro Awani 10/12/2025 | 10:31 MYT
Keputusan sama ada penangguhan hukuman penjara lima tahun ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin akan diumumkan pada 23 Disember ini. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM : Keputusan sama ada ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak autisme itu akan diketahui pada 23 Disember ini di Mahkamah Tinggi.


Ringkasan AI
  • Keputusan sama ada penangguhan hukuman penjara lima tahun ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin akan diumumkan pada 23 Disember ini di Mahkamah Tinggi.
  • Hakim menetapkan tarikh selepas mendengar hujahan peguam perayu dan Timbalan Pendakwa Raya yang menegaskan bahawa tiada keadaan istimewa untuk penangguhan hukuman.
  • Peguam perayu menyatakan anak bongsu, yang turut menghidap autisme, memerlukan sokongan emosi daripada ibunya yang terpisah selama setahun, menyebabkan suami terpaksa membawa anak ke penjara setiap dua bulan bagi melihat ibunya.


Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 30, selaku perayu, serta Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin yang bertindak sebagai responden.

Dalam hujahnya, Raja Zaizul Faridah menegaskan bahawa pihak pembelaan gagal menunjukkan sebarang keadaan istimewa yang boleh menyokong permohonan untuk penangguhan hukuman.

Beliau berhujah bahawa pembelaan juga tidak membuktikan wujudnya sebarang kekhilafan oleh hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya ketika menolak permohonan penangguhan hukuman sebelum ini.

"Alasan bahawa perayu mempunyai seorang anak kecil yang turut menghidap autisme tidak termasuk dalam kategori keadaan khas yang boleh dipertimbangkan mahkamah.

"Tiada afidavit sokongan daripada pakar psikologi dikemukakan untuk membuktikan bahawa kanak-kanak itu akan mengalami ketidakstabilan emosi sekiranya tidak berada di bawah jagaan ibu," katanya.

Malah, katanya, hak jagaan anak kedua perayu itu juga telah diberikan kepada suami, bukannya kepada perayu sendiri.

“Ismanira juga menggunakan alasan bahawa dirinya sentiasa memberi kerjasama dan hadir setiap kali prosiding berlangsung, sedangkan itu adalah kewajipan perayu untuk mematuhi arahan mahkamah.

“Selain itu, alasan bahawa tempoh pemenjaraan lima tahun akan tamat sebelum proses rayuan selesai juga tidak wajar dipertimbangkan memandangkan pengurusan kes rayuan telah pun ditetapkan minggu depan,” ujarnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Ismanira, Haresh Mahadevan berhujah bahawa adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan yang kini berusia enam tahun memerlukan perhatian dan sokongan emosi berterusan daripada seorang ibu.

Beliau berkata laporan pakar kanak-kanak menunjukkan anak bongsu itu mengalami tekanan emosi yang ketara akibat terpisah daripada ibunya sejak lebih setahun.

Disebabkan itu, suami perayu, Zaim Ikhwan Zahari terpaksa membawa anak mereka ke Penjara Kajang sekali setiap dua bulan bagi melepaskan rindu terhadap ibunya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, dan telah mengabaikannya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.







#Ismanira Abdul Manaf #Zayn Rayyan #Mahkamah Tinggi #terkini #tangguh hukuman