GOPENG: Kerajaan negeri Perak masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) berhubung kes keracunan makanan di Sekolah Izzuddin Shah di sini, Rabu minggu lepas.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, berdasarkan laporan itu barulah tindakan selanjutnya akan diambil.

Menurutnya, kejadian itu hanya melibatkan beberapa pelajar dan mereka telah dirawat serta didiagnosis sebagai tidak kritikal.

“Kerajaan negeri mengambil maklum dan cakna berkaitan dengan perkara ini, kita juga memahami tentang kerisauan serta kebimbangan ibu bapa yang terlibat secara langsung,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan baju raya kepada anak-anak yatim anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini.

Pada Rabu minggu lepas tular di media sosial mengenai penjaga yang tidak berpuas hati mengapa mereka tidak diberitahu mengenai kejadian tersebut.

Pengetua sekolah, Ahmad Munawir Salehuddin berkata, pengurusan sekolah telah mengambil langkah sewajarnya dalam perkara itu termasuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan pemantauan daripada warden-warden.

Ahmad Saidi berharap ibu bapa dapat memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk terus menjaga anak-anak mereka di sekolah.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengendali makanan di sekolah atau asrama supaya memastikan kebersihan dan keselamatan makanan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.

“Sekiranya kita menerima laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan dan terbukti jelas berlakunya kesalahan dalam penyediaan makanan, sudah pasti kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pengendali atau pengusaha kantin yang berkenaan,” kata beliau.