Kerajaan akan terus membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membangun sebagai satu angkatan berwibawa yang boleh dibanggakan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan perlu menyediakan peralatan yang mampu mempermodenkan TLDM agar mencapai tahap kesiapsiagaan dan kemampuan tempur yang tinggi.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada pasukan TLDM atas kejayaan pasukan keselamatan itu menawan semula kapal tangki MT Orkim Harmony yang ditawan lanun baru-baru ini.

Menurutnya, beliau amat memahami tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul anggota TLDM untuk menjamin keselamatan serta keamanan tanah air.

Ini jelasnya, kerana, tugas mereka amat berat dan tidak mengira waktu serta masa kerana ketika Ramadan dan Hari Raya, orang lain boleh bersama keluarga tetapi sebahagian anggota TLDM perlu berada di barisan hadapan untuk menjalani tugas.

“Ini dikatakan harga keamanan atau ‘the price of peace’. Harga keamanan ini kita sanggup bayar bagi pihak 28 juta rakyat Malaysia. Apa sahaja yang kita buat untuk kebajikan anggota TLDM dan membina kemampuan TLDM sudah tentu keputusan tepat dan berbaloi,” katanya.

Najib berucap selepas menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM di Lumut, Perak pada Ahad malam.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.5 juta bagi membangunkan semula Masjid An-Nur di Pangkalan TLDM Lumut bagi menambah kapasiti jemaah.