KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menguji mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar untuk memastikan sistem yang akan diguna pakai sesuai dan mudah di kawasan bandar dan luar bandar, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata tempoh pengujian sebelum pelaksanaan memerlukan masa antara tiga dan enam bulan sebelum mekanisme itu benar-benar bersedia untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya pelaksanaannya adalah secara berfasa untuk memastikan ia tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi.

"Strategi kita adalah untuk memastikan pelaksanaan menggantikan subsidi secara pukal dengan kombinasi subsidi bersasar dan bantuan tunai dibuat secara berperingkat.

"Dengan kos subsidi yang semakin meningkat, kerajaan juga perlu mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan bagi menampung subsidi.

"Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah mengeluarkan garis panduan penjimatan perbelanjaan awam," katanya dalam pembentangan Laporan Kewangan Rakyat Ke-104 melalui laman Facebooknya hari ini.

Tengku Zafrul berkata ini untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan perbelanjaan bagi membantu membiayai sebahagian tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

"Oleh itu kementerian, jabatan dan agensi hendaklah menyusun semula peruntukan dan mencadangkan penjimatan peruntukan mengurus bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya lima peratus penjimatan daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022," katanya.

Mengenai usaha kerajaan untuk memelihara kelangsungan spesis terancam, katanya peruntukan sebanyak RM13 juta telah diperuntukkan di bawah Bajet 2022 bagi pemberian bantuan kos operasi zoo, usaha meningkatkan pembiakan harimau Malaya dan pelaksanaan Program Frozen Zoo.

Katanya kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui Geran Khas Yayasan Hasanah yang bertujuan untuk menyokong usaha-usaha badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dan Perusahaan Sosial.

"Menariknya, antara projek yang dijalankan oleh Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia ialah melindungi hidupan liar seperti harimau.

"Mereka akan melatih, melengkapkan dan menempatkan 118 orang asli sedia ada dan 10 orang baharu sebagai renjer hidupan liar untuk meronda kawasan hutan Perias-Balah di Gua Musang bagi mencegah pemburuan haram harimau dan memulakan pemantauan jangka panjang terhadap hidupan liar lain.

"Ini menggunakan petunjuk haiwan dan tinjauan perangkap kamera," katanya.

Beliau berkata penggunaan renjer orang asli telah menunjukkan hasil dengan rondaan yang ketat dan insiden pemburuan haram telah berjaya dikurangkan sebanyak 98 peratus di Taman Negeri Royal Belum.

"Melalui kamera pemantauan, ia merekodkan seekor ibu harimau bersama empat ekor anaknya membuktikan kejayaan inisiatif ini.

"Bukan sahaja harimau Malaya yang terancam, malah hidupan liar lain juga. Oleh itu, undang-undang yang lebih ketat bagi jenayah hidupan liar juga dijangka berkuat kuasa dalam masa terdekat dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716), menaikkan denda maksimum kepada RM1 juta daripada RM500,000 sebelum ini bagi pesalah," katanya.

Tengku Zafrul berkata dua lagi usaha penting dalam membanteras pemburuan haram ialah penubuhan Pasukan Petugas Harimau Kebangsaan yang diketuai oleh Perdana Menteri dan penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah pasukan polis.

-- BERNAMA