Kerajaan akan bertemu dengan Menteri Pertahanan Australia bagi menangani sebarang isu berbangkit berhubung Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata pertemuan tersebut akan melibatkan perkongsian maklumat selain memastikan janji kerajaan China untuk tidak meletakkan aset di Laut China Selatan ditepati.

Katanya, pertemuan itu untuk menggariskan strategi untuk mengimbangi dan mengekang tindak-tanduk kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat.

"Di Kementerian Pertahanan, sekiranya laporan yang kami terima ada berkaitan dengan kerja-kerja pembangunan dan peletakan aset ketenteraan, kami akan memohon China untuk mengalihkannya," kata Hishammuddin dalam sidang media program Ucaptama Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia, Maktab Turus Angkatan Tentera Siri 45/2016 di di sini, hari ini.

Hishammuddin turut berkata, beberapa pertemuan dengan kepimpinan Vietnam dan Filipina turut akan diadakan.

Jelasnya, Malaysia perlu berdiplomasi dengan beberapa negara ASEAN dan tidak boleh bertindak bersendirian dalam isu berkenaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, isu tersebut perlu diselesaikan berdasarkan Undang-undang Antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Katanya, semua pihak perlu mengekang diri dan mengelakkan ketegangan meningkat di wilayah yang dipertikai.

Jelasnya, semua pihak hendaklah mengelak dari memberi ancaman dan menghormati deklarasi mengenai Tata Laku (DoC) pihak-pihak di Laut China Selatan yang ditandatangani oleh ASEAN dan China pada 2002.

Deklarasi tersebut telah membuka jalan bagi ASEAN dan China merangka CoC sebagai garis panduan untuk mengelakkan berlaku sebarang salah faham di kawasan itu.

Tuntutan bertindih itu melibatkan empat negara ASEAN - Brunei, Filipina, Malaysia dan Vietnam selain China dan Taiwan.