MALAYSIA
Kerajaan akan tambah baik infrastruktur rel, kurangkan kargo atas jalan raya
Anthony Loke berkata buat masa ini hanya satu peratus fret di Malaysia diangkut menggunakan mod pengangkutan rel. - Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan bakal melaksanakan beberapa penambahbaikan kepada infrastruktur rel negara bagi mengalihkan pengangkutan fret (kargo) dari jalan raya ke rel.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata buat masa ini hanya satu peratus fret di Malaysia diangkut menggunakan mod pengangkutan rel dan kerajaan menyasarkan sekurang-kurang 10 peratus akan diangkut melalui rel dengan penambahbaikan yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-13.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani kesesakan lalu lintas, mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar negara.
"Inisiatif ini menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem logistik yang lebih cekap, selamat dan mampan... Selain daripada mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama, inisiatif ini juga menjadikan kos menjalankan perniagaan oleh pemain industri logistik semakin kompetitif melalui opsyen yang tersedia.
"Pengangkutan rel juga terbukti lebih mesra alam dengan jejak karbon yang lebih rendah berbanding pengangkutan jalan raya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini hari ini.
Bagi merealisasikan inisiatif itu, Loke berkata antara projek yang akan dilaksanakan termasuk pemanjangan landasan sisian di Terminal Kontena Butterworth Utara, menaik taraf landasan Pasir Mas-Rantau Panjang serta depoh Padang Besar.
Ketersambungan awal dan akhir turut akan diperkasa bagi memastikan kelancaran proses pengangkutan fret dari stesen kereta api ke destinasi akhir.
"Antaranya menambah bilangan lokomotif dan gerabak melalui model pajakan, membangunkan terminal hab kargo baharu dan membina laluan sambungan ke kawasan strategik bagi menampung keperluan sektor logistik," kata Loke, yang menambah inisiatif itu mendapat sokongan persatuan-persatuan syarikat pengangkut.
Dalam pada itu, Loke berkata pihaknya bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menubuhkan satu kumpulan kerja khas bagi menyelaras semula dasar dan melaksanakan tindakan bagi menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) hab kargo udara dan pemunggahan serantau.
Beliau berkata kumpulan itu akan menangani beberapa kelemahan yang dikenal pasti sebagai punca proses pemeriksaan kastam agak perlahan dan kapasiti kargo udara di KLIA rendah, yang membuatkan pemain industri lebih memilih untuk melaksanakan perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
"KLIA ini cukup besar tetapi mengapa kita hanya pegang satu pertiga daripada jumlah kargo Changi?
"Kami kenal pasti ada beberapa kelemahan dari segi peraturan, pelepasan kastam kita lebih lambat daripada di Singapura, menjadikan masa diambil untuk pemunggahan dan pemindahan kargo juga lebih lama," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini RMK13 di sini