Kerajaan akan terus bantu rakyat walaupun dihina - Najib

Malik Ridhwan
Jun 25, 2016 23:19 MYT
Najib (dua, kanan) ketika penyampaian sumbangan Pengarah Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar Datuk Paduka Izzudin Ishak pada program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Putra pada Sabtu. - Foto Bernama
Kerajaan akan terus menjaga kebajikan dan menghulurkan bantuan kepada rakyat walaupun adakalanya dihina dan ditohmah termasuk dianggap 'memberi dedak' kepada rakyat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kecenderungan ini juga terbukti menyumbang kepada faktor kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.
Kemenangan katanya memberi petunjuk bahawa rakyat sentiasa menerima kerajaan sedia ada yang komited mendahulukan kepentingan rakyat meskipun dilanda pelbagai tomahan.
“Alhamdulillah di Malaysia ini kita dapat mara ke hadapan. Sebab kita telah memilih sebuah kerajaan yang sentiasa mengutamakan kemaslahatan umat dan rakyat Malaysia. Kita mengutamakan kebajikan rakyat. Kita mendahulukan kepentingan rakyat.
“Sebab itulah walaupun kita diserang dengan pelbagai fitnah, tomahan dan juga separuh benar dan separuh tidak benar, tetapi kemenangan pilihan raya di Sarawak dan juga Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini membuktikan bahawa rakyat memberi keyakinan kepada kita,” katanya ketika berucap pada program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Putrajaya di Masjid Putra pada Sabtu.
Pada majlis itu kira-kira 2,000 golongan asnaf, anak-anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan golongan OKU dari sekitar Putrajaya menerima sumbangan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Program Nur Ramadan yang diadakan di 13 Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini memperuntukkan sumbangan wang tunai berjumlah RM1.3 juta kepada 8,750 golongan kurang berkemampuan.
#Barisan Nasional #kerajaan #Najib Razak #rakyatm kebajikan rakyat