Kerajaan akur sekiranya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mahu menamatkan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lautan Hindi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata kawasan pencarian pesawat yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu kini semakin menghampiri 120,000 kilometer (km) persegi.

"Sekiranya kita telah menyelesaikan usaha pencarian di kawasan yang ditentukan (120,000 km), kita akur dengan Australia yang mengetuai pencarian dan nasihat pakar untuk mereka berhenti," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Akademi KTM (MyRa) di sini hari ini.

BACA: Pencarian MH370 ditamatkan di luar pantai Australia Barat Julai ini

Ab Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ATSB pada Isnin yang melaporkan usaha untuk menemukan pesawat MH370 itu semakin tipis memandangkan kawasan pencarian kini berbaki 15,000 km lagi.

Menurut ATSB, sejak pencarian dimulakan dua tahun lalu sehingga 11 Mei lalu, pihak berkuasa telah menjalankan misi melibatkan kawasan seluas 105,000 km.

ATSB Malaysia, Australia dan China telah setuju sekiranya pencarian di kawasan seluas 120,000 tidak berhasil, kawasan pencarian tidak akan ditambah.