KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan mengarahkan satu usaha digerakkan untuk membangun dan mengindahkan gerai di seluruh negara bagi menjamin kesejahteraan golongan penjaja yang berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara perlu mewujudkan pelan yang selari dengan dasar di peringkat Persekutuan.

Jelas beliau, langkah tersebut bagi memastikan peniaga-peniaga kecil mendapat infrastruktur yang lebih selesa dan bersih. 

"Saya berbincang dengan beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri, bahawa semua kota di Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Kota Bharu, Alor Setar, mesti ada dasar yang jelas.

“Kerajaan Persekutuan ini bukan soal Jabatan Wilayah Persekutuan, atau Datuk Bandar sahaja, tetapi ia mesti seluruh jentera.

“Sebab itu saya berunding dengan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kementerian itu juga ada dasar yang sama supaya pembangunan itu termasuk perumahan rakyat dan gerai-gerai di seluruh negara," katanya, di sini, pada Sabtu.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, yang turut dihadiri isterinya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata usaha berkenaan perlu direncanakan segera dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dan ia tidak hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.

"Ini tanggungjawab kerajaan, kerajaan negeri, majlis bandar, semua jabatan dan kementerian.

"Saya mahu lihat dalam beberapa bulan ini rencana bukan sahaja di Kuala Lumpur, Putrajaya, atau Labuan.

"Tetapi (dasar pembangunan peniaga kecil) ini juga (perlu dilaksanakan) di Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Semua negeri ini ada rencana supaya mengangkat martabat dan memberikan penghormatan kepada golongan berpendapatan kecil.

"Saya tak mahu anggap ini satu saranan politik tetapi kita nak tindakan," ujarnya.

Beliau dalam masa yang sama turut menggesa pembangunan di Kuala Lumpur yang sedang dilakukan, supaya dipercepatkan kepada tempoh tiga bulan.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan bersetuju menurunkan kadar sewa sebanyak 50 peratus kepada 23 peniaga D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur.

Anwar berkata, ini menyaksikan kadar sewa asal sebanyak RM400 diturunkan kepada RM200 sebulan, sebagai usaha meringankan beban golongan peniaga berkenaan.

Pembangunan semula dan pengindahan D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur mula dilaksanakan pada Mei 2018 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2022 dengan kos pembinaan sebanyak RM7.2 juta.

Medan selara itu menempatkan 24 gerai berkunci dan tiga unit kiosk bagi peniaga, kemudahan surau, tandas serta rumah sampah yang lebih kondusif.