KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan baharu untuk bertindak segera bagi menyelesaikan masalah kesihatan awam dan krisis ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tricia Yeoh juga berharap pentadbiran di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat meneruskan inisiatif utama sedia ada termasuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menekankan bahawa keutamaan khusus perlu diberikan kepada aspek sistem kesihatan awam berikutan peningkatan ketara kes jangkitan baharu COVID-19 di seluruh negara.

"Walaupun ketegangan politik negara dapat ditenangkan, IDEAS sebaliknya ingin mengingatkan bahawa (kedudukan) perikatan ini masih belum kukuh sepenuhnya.

"Memandangkan perdana menteri memperoleh majoriti tipis, beliau perlu mengukuhkan keyakinan pentadbiran terhadap kedudukan beliau," katanya.

Yeoh juga berpendapat bahawa kerajaan perlu bersungguh-sungguh dan komited dalam melaksanakan perubahan yang telah dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, pelaksanaan UNDI18, pengagihan peruntukan sama terhadap semua Ahli Dewan Rakyat, penambahbaikan Parlimen, pertambahan dana COVID-19 kepada RM65 bilion dan penyertaan wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

"Kebelakangan ini, kedudukan ekonomi Malaysia semakin merudum dan kestabilan politik amat diperlukan untuk memulihkan daya saing, produktiviti dan inovasi negara di peringkat antarabangsa.

"Kita harus menggunakan 'whole-of-society approach' (pendekatan keseluruhan masyarakat) dengan melibatkan kerjasama daripada badan-badan pemikir, masyarakat awam, jaringan professional dan organisasi antarabangsa," katanya.

Menurut Yeoh, perubahan dan penambahbaikan institusi itu juga penting dalam membina keyakinan pelabur.

-- BERNAMA