[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Kerajaan bakal gubal undang-undang syariah cegah abai ibu bapa - Nai’m

Seth Akmal 25/11/2025 | 05:35 MYT
Menurut Nai'm Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia akan menggubal undang-undang baharu, dengan memasukkan peruntukan punca kuasa yang lebih jelas dan khusus pada Mac 2026. Gambar Jabatan Penerangan Malaysia. - Foto JPM
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperinci peruntukan berkaitan nafkah kepada ibu bapa yang telah uzur dan tidak berkemampuan pada tahun 2026.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar,
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan menggubal undang-undang baharu dengan memasukkan peruntukan punca kuasa yang lebih jelas dan khusus pada Mac depan.

“Semua anak dipertanggungjawabkan untuk saling bantu-membantu memenuhi nafkah dan keperluan asas ibu bapa yang berada dalam keadaan tidak berupaya, apatah lagi yang berkemampuan,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Ia bertujuan agar peruntukan undang-undang tersebut selari dengan hukum syarak serta menepati keperluan dan realiti semasa masyarakat Islam di Malaysia.

Menurut beliau, proses penyediaan draf undang-undang tersebut digerakkan melalui proses penelitian perundangan libat urus bersama JAKIM dan JKSM.

Nai’m turut menyatakan libat urus ini turut mengambil kira keperluan menyelaraskan model peruntukan tersebut supaya boleh diterima pakai di negeri-negeri lain.

Bagi tujuan itu, perkara tersebut sedang diteliti oleh Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) sebelum dibawa ke Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

“Kita harapkan hasrat untuk mengadakan peruntukan terperinci berkaitan dengan nafkah ibu bapa ini bukan sahaja dapat dilaksanakan di wilayah persekutuan tetapi juga akan dibawa ke peringkat negeri,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) turut menyoal tindakan anak-anak yang sewenang-wenangnya menghantar ibu bapa mereka yang telah uzur ke rumah penjagaan orang-orang tua.

Na’im turut menegaskan perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan dan anak-anak tetap diheret ke muka pengadilan atas tuduhan pengabaian walaupun masih belum wujud peruntukan khusus mengenainya.

“Ada setengah-setengah Hakim yang berkaitan kes ini menggunakan peruntukan umum, contohnya, Seksyen 61 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri.

“Di situ, ada disebut tentang ‘mana-mana orang’, jadi ada setengah Hakim Mahkamah Syariah yang mentafsirkan perkataan ‘mana-mana orang’ itu termasuklah ibu bapa,” jelasnya.



#Islam #ibu bapa #JAKIM #syariah