Kerajaan bakal umum harga siling baharu kit ujian RTK Antigen hujung tahun ini - Nanta

Fadilah Sulaiman
September 5, 2021 04:00 MYT
Kerajaan akan mengumumkan harga siling baharu untuk ujian kit RTK Antigen menjelang hujung tahun ini. - Foto Bernama.
KUCHING: Kerajaan bakal mengumumkan harga siling baharu kit ujian RTK Antigen menjelang hujung tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagaimanapun pihaknya belum menentukan harga baharu untuk kit ujian itu.
Menurutnya, harga baharu yang lebih murah daripada harga semasa itu adalah untuk meringankan beban pengguna dan rakyat selain tidak meminggirkan peniaga serta pemborong.
“Hujung tahun ini kita akan turunkan lagi harga. Ini bukan tergesa-gesa kita beritahu awal, hari ini.
“Ini bukan pengumuman baharu sebab semalam Menteri Kesihatan ada mengumumkan usaha kerajaan untuk menurunkan lagi harga kit ujian supaya lebih mampu dimiliki orang ramai kerana ianya sudah menjadi keperluan,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat farmasi di sebuah pasar raya di Kuching pada Ahad.
Selain itu katanya, penjualan RTK antigen ini juga akan diperluaskan penjualannya di kedai-kedai lain selain farmasi untuk memudahkan akses.
“Tempat jualan akan diperluaskan sebab syarat undang-undang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dalam komuniti farmasi sahaja jadi belum ada di kedai lain tapi kenyataan daripada Menteri KKM, akan dibenarkan juga di kedai lain pasar raya agar ianya tidak terhad kepada farmasi supaya ia boleh didapati dengan mudah,” katanya.
#COVID-19 #Kit RTK Antigen #Alexander Nanta Linggi #harga kawalan