Skip to main content

Malaysia

Kerajaan bangunkan modul Fiqh Autisme, perluas kefahaman ibadah anak istimewa - Zulkifli

KUALA LUMPUR, 24 April -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan (dua, kiri) menyantuni serta beramah mesra bersama kanak-kanak autism ketika melawat Yayasan Pendidikan Insani hari ini.  Turut hadir Pengurus Yayasan Pendidikan Insani Mohd Fakhri Nor Affandi (dua, kanan).  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Zulkifli (dua, kiri) menyantuni serta beramah mesra bersama kanak-kanak autistik ketika melawat Yayasan Pendidikan Insani hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka modul khusus untuk kanak-kanak autisme menerusi Fiqh Autisme bagi memastikan kanak-kanak istimewa itu mendapat akses pendidikan agama dan kefahaman ibadah yang lebih inklusif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata pembangunan modul itu menjadi komponen penting di bawah Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim yang kini sedang dibangunkan kerajaan.

Advertisement

“Dalam konteks autisme, kami sedang meneroka usaha membangunkan Fiqh Autisme sebagai pendekatan inklusif, agar anak-anak istimewa ini mendapat akses kepada ilmu dan penghayatan agama, selaras dengan keperluan serta kemampuan mereka.

“Pada masa sama, usaha ini bertujuan membantu masyarakat memahami keperluan golongan itu dalam konteks pelaksanaan ibadah, khususnya melibatkan fardu ain dan fardu kifayah,” katanya selepas mengadakan lawatan serta menyantuni warga Yayasan Pendidikan Insani di Bandar Baru Selayang di sini hari ini. 

Zulkifli berkata pihaknya kini di peringkat akhir menyiapkan Garis Panduan Mesra OKU di masjid dan surau.

Beliau berkata garis panduan itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti.

“Jadi, secara keseluruhan Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama memberikan perhatian serius terhadap keperluan anak-anak kita,” katanya. 

Terdahulu, beliau turut menyantuni kira-kira 30 pelajar autisme serta mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan mengenai pelbagai aspek sokongan termasuk memperkukuh elemen wakaf dan pembangunan kapasiti bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan golongan berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video