MALAYSIA

Kerajaan bantu ibu tunggal, anak tuntut nafkah melalui perintah hiwalah beku akaun bank

Bernama 24/10/2025 | 07:20 MYT
Mohd Na'im berkata nilai keseluruhan simpanan yang dipindahkan kepada pemiutang penghakiman daripada akaun tersebut ialah sebanyak RM79,820. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 152 kes hiwalah didaftarkan di Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan 26 kes berjaya diselesaikan melalui pembekuan akaun bank milik penghutang penghakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata nilai keseluruhan simpanan yang dipindahkan kepada pemiutang penghakiman daripada akaun tersebut ialah sebanyak RM79,820.

Katanya, hiwalah ialah pemindahan sesuatu hutang oleh orang yang berhutang kepada pihak lain.

"Kerajaan MADANI amat komited untuk membantu rakyat, khususnya para ibu tunggal dan anak-anak yang dinafikan hak nafkah mereka.

"Usaha keras telah dilaksanakan bagi membolehkan tindakan sekatan akaun bank diambil terhadap bekas suami atau bapa yang culas memberi nafkah, satu cadangan yang dimulakan semasa saya menjadi Ketua Pengarah JKSM," katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohd Na'im berkata langkah diambil termasuk meminda Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759) dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Akta 618) bagi mengiktiraf dan membolehkan perintah hiwalah dikeluarkan Mahkamah Syariah dilaksanakan oleh institusi perbankan berlesen ke atas simpanan penghutang penghakiman.

Beliau berkata perintah hiwalah itu memberikan sinar baharu kepada isteri atau bekas isteri dan anak-anak yang teraniaya akibat kegagalan pemberian nafkah.

"JKSM komited menangani isu pengabaian nafkah...tindakan tegas lain, termasuk memenjarakan pihak yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah, juga telah diambil oleh BSK JKSM.

"Di samping itu, promosi dan kempen kesedaran sentiasa dipergiat di seluruh negara agar masyarakat mengambil cakna terhadap perintah Mahkamah Syariah," katanya.

Mohd Na'im turut menegaskan bahawa sebarang dakwaan kerajaan bersikap lepas tangan dalam isu tersebut tidak benar dan kerajaan menyeru semua pihak agar menyampaikan mesej tepat dan membantu memberikan maklumat berkaitan dasar serta langkah yang telah dilaksanakan kerajaan.

-- BERNAMA

#ibu tunggal #tuntutan nafkah #perintah hiwalah #beku akaun