DUBAI: Kerajaan akan membelanjakan AS$3 juta (AS$1=RM4.66) dalam bentuk geran daripada Dana Iklim Hijau (GCF) untuk membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (NAP) mengenai perubahan iklim, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata kementerian kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada GCF untuk membangunkan NAP, yang merupakan rangka kerja penting dalam menangani penyesuaian dan daya tahan agenda perubahan iklim di negara ini.

"Kami mempunyai pelan mitigasi kami. Berkenaan dengan penyesuaian, ini adalah rangka kerja kebangsaan untuk memaklumkan cara kami menangani langkah-langkah penyesuaian, dan ia akan mengutamakan kesihatan, pertanian dan sekuriti makanan, perhutanan, biodiversiti, sumber air dan keselamatan, serta infrastruktur dan perbandaran," katanya dalam sesi panel semasa Hari Adaptasi dan Ketahanan di Pavilion Malaysia pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) di sini.

GCF ditubuhkan dalam Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) untuk menyokong projek, program, dasar dan aktiviti-aktiviti lain di negara membangun.

Menteri itu berkata NAP bersama-sama dengan pembiayaan daripada beberapa geran antarabangsa, akan membantu negara mereka bentuk bandar, merancang pembangunan fizikal, dan melindungi hutan untuk menghadapi cabaran akibat perubahan iklim.

Idea untuk melancarkan NAP bagi perubahan iklim diumumkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi pada September.

Kementerian NRECC sedang bekerjasama dengan agensi pembangunan Jerman, Deutsche Gesellschaft fur Internationale Zusammenarbeit (GIZ), bagi membangunkan cadangan NAP untuk kelulusan GCF.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata kerajaan termasuk di negara-negara maju, menghadapi ruang fiskal yang terhad untuk menangani penyesuaian dan daya tahan isu-isu perubahan iklim.

"Idea untuk menggunakan kewangan yang digabungkan dan memanfaatkan pelbagai dana adalah sangat penting bagi negara untuk menangani penyelesaian penyesuaian dan daya tahan," tambahnya.

Memetik contoh pendekatan Malaysia untuk mengurangkan isu perubahan iklim di ibu kota Kuala Lumpur menerusi pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart), Nik Nazmi berkata kerajaan mengambil pendekatan itu bagi menangani masalah banjir dan kesesakan lalu lintas di pusat bandar.

"Ia (Terowong Smart) telah mengurangkan banjir di pusat bandar dan dibayar oleh pemandu Malaysia yang membayar tol di jalan itu.

"Ini adalah salah satu pendekatan Malaysia yang mana kami bekerjasama dengan pihak swasta untuk mencari penyelesaian jangka panjang," tambah menteri itu.

-- BERNAMA