Kerajaan belanja RM500 juta beli aset keselamatan baharu

Hilal Azmi
Oktober 21, 2015 10:46 MYT
AHMAD ZAHID: Perjanjian oemindahan teknologi turut akan dipertingkatkan. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Perjanjian pembelian aset bernilai RM500 juta bakal dimeterai dalam Persidangan dan Pameran Peralatan Khas Polis Asia ke-4 (GPEC Asia) 2015 bagi memperkukuh fungsi agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perjanjian yang akan dimeterai di persidangan yang berlangsung bermula hari ini hingga Sabtu itu bakal melibatkan beberapa buah agensi di bawah KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Perjanjian pemindahan teknologi juga akan dipertingkatkan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan GPEC Asia di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
GPEC Asia menyaksikan penyertaan lebih 300 delegasi daripada pelbagai negara yang memberi penekanan perkhidmatan serta teknologi baru bagi membantu tugas penguatkuasa di negara masing-masing termasuk kuasa besar Amerika Syarikat.
Pameran ini dijangkakan menarik perharian lebih 15,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.
#Ahmad Zahid Hamidi #Amerika Syarikat #GPEC2015 #KDN #PDRM #Persidangan dan Pameran Peralatan Khas Polis Asia ke-4