KUALA LUMPUR: Kerajaan belum memutuskan sebarang pelan hala tuju bagi kenderaan gas asli (NGV) di negara ini berikutan permintaannya semakin berkurangan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, bagaimanapun kerajaan bersedia meneliti potensi NGV melalui perbincangan seperti menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara dengan mengambil kira penilaian Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai penyelia tunggal bahan api itu di Malaysia.

"Kerajaan berpandangan penggunaan NGV perlu ditentukan berdasarkan pasaran tanpa campur tangan kerajaan," katanya ketika menjawab usul mengenai 'Haja Tuju Kenderaan Asli Asli (NGV) di Malaysia' semasa sesi Kamar Khas Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, bahan api itu dibangunkan bertujuan mencapai sekuriti bekalan bahan api, namun permintaan NGV telah berkurangan secara ketara sejak 2015 didorong peningkatan perkhidmatan e-hailing.

Sektor pengangkutan mendominasi segmen NGV terutama dalam kalangan pemandu teksi.

Susulan ketiadaan permintaan daripada pengguna, Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV), anak syarikat Petronas kini menjual bahan api itu pada RM1.05 seliter, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran RM2.77 seliter, katanya.

Hanifah berkata, permintaan NGV kini telah beralih kepada alternatif mesra alam seperti Euro 4M, di samping peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Kerajaan sedang berusaha memastikan kenderaan EV mampu dimiliki oleh semua golongan, katanya.

Terdahulu, Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) mencadangkan hala tuju NGV di Malaysia dengan kerajaan melihat potensi penggunaan NGV yang sedia ada sementara menunggu sektor EV matang untuk memastikan negara mencapai komitmen pelepasan karbon sifar bersih 2050.

Beliau berkata, infrastrutur sedia ada membolehkan kerajaan memperluas dan memajukan NGV.

Kini hanya terdapat 67 stesen NGV di Malaysia berbanding 179 stesen pada 2014, katanya.

Beliau berkata jumlah NGV turut susut kepada 30,000 buah daripada lebih 70,000 pada tahun yang sama.
- BERNAMA