KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini membentangkan usul membahas, dan mengungkai tujuh Ordinan Darurat, yang telah dikuatkuasakan sewaktu tempoh Proklamasi Darurat antara 11 Januari sehingga 1 Ogos lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembentangan usul itu selaras dengan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Proklamasi Darurat, dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai permulaan usul, Ahli Parlimen Santubong itu berkata, Proklamasi Darurat dilaksanakan bagi membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150, bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 lebih serius.

“Gelombang ketiga wabak COVID-19 yang melanda negara kita telah bermula September 2020 menunjukkan kenaikan kes-kes positif dan kematian yang begitu mendadak.

“Sehingga 24 Oktober 2021 jumlah kes keseluruhan (Total Confirmed Cases) dengan izin, adalah seramai 2,426,050 kes. Jumlah kes aktif adalah seramai 77,305 kes dan jumlah kematian adalah seramai 28,354 kes,” katanya lagi.

Wan Junaidi berkata, sepanjang tempoh tersebut, tiga platform telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan pengurusan Darurat, serta Ordinannya iaitu - Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN); Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat; dan Kumpulan-kumpulan Kerja Pengurusan Darurat.

Antara Ordinan yang dibentang untuk diungkaikan ialah - Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Turut dibentangkan ialah - Ordinan berkaitan pengekangan berita palsu; tatacara perbelanjaan wang Kerajaan; serta pengurusan dan penggunaan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Berkaitan Proklamasi Darurat, Wan Junaidi berkata, perintah itu diwartakan pada 14 Januari 2021 tetapi berkuat kuasa pada 11 Januari 2021, dan terpakai kepada semua kerajaan negeri sebagaimana ia terpakai kepada Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, tujuan utama penggubalan bekenaan adalah bagi memperkasakan sektor kesihatan awam, pengurusan sumber kerajaan dan memperkasakan penguatkuasaan.

Dalam langkah memperkasakan sektor kesihatan, beliau berkata, pengamal perubatan swasta telah dilantik bagi membantu KKM melaksanakan perintah pemerhatian dan pengawasan ke atas kes positif COVID-19 kategori 1 dan 2 yang didiagnos.

Selain itu, ia juga membolehkan pengambilmilikan sementara tanah, bangunan dan harta alih telah dibuat untuk menempatkan dan menguruskan pesakit positif COVID-19 dan pesakit selain pesakit positif COVID-19.

Bagi tujuan penguatkuasaan, Wan Junaidi berkata, kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diturunkan kepada Angkatan Tentera Malaysia, melalui surat yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri.

Ia memberi pengkhususan kepada dua tugas utama, iaitu Op Benteng – bagi maksud pencegahan PATi atau apa-apa kesalahan melibatkan PATI; dan Op COVID, bagi melaksanakan pencegahan COVID-19 di mana-mana tempat operasi yang ditentukan.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) membolehkan pelaksanaan pemakaian peranti pengesanan, menaikkan nilai kompaun iaitu RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi pertubuhan perbadanan.

Menyentuh mengenai penggunaan dana KWAN, beliau berkata, Ordinan berkaitan tidak memberi implikasi kewangan tambahan secara langsung kepada Kerajaan.

Namun, jelasnya lagi, ia telah melibatkan penggunaan dana KWAN sehingga RM5 bilion bagi menampung pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berkaitan vaksin.

“Kerajaan akan memastikan pengungkaian ketujuh-tujuh (7) ordinan ini tidak akan menjejaskan pengawalan ancaman pandemik ini demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara,” katanya lagi.