MALAYSIA

Kerajaan, BNM aktifkan semula GMC tangani kelewatan surat jaminan, pembayaran rawatan

Bernama 06/11/2025 | 07:45 MYT
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak industri perubatan, hospital dan syarikat insurans serta pengendali takaful (ITO) sedang mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan (GMC).

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata jawatankuasa itu diaktifkan bagi menangani kelewatan pengeluaran surat jaminan dan pertikaian pembayaran rawatan di bawah polisi Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT).

"Jawatankuasa ini berperanan sebagai platform industri untuk menangani isu amalan operasi dan perniagaan seperti menyelaras amalan operasi bagi mengurangkan kelewatan dalam pengeluaran surat jaminan dan menyemak kes-kes yang mendapat pertikaian berkenaan dengan rawatan perlu dibayar di bawah polisi MHIT.

"Jadi berdasarkan perbincangan, GMC boleh mengeluarkan panduan sebagai rujukan kepada pihak pembayar, pengamal perubatan dan penyedia perkhidmatan kesihatan untuk kes-kes serupa pada masa hadapan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai kerangka diambil kerajaan bagi memastikan pelarasan insurans premium MHIT adalah munasabah dan memihak kepada rakyat selain peranan pentadbir pihak ketiga (TPA) serta GMC dalam melaraskan antara pengamal perubatan dan pihak insurans.

Lim berkata kerajaan mengambil maklum isu dibangkitkan - secara amnya cabaran kos inflasi perubatan adalah kompleks dan memerlukan pendekatan seluruh negara.

"Reformasi jangka panjang amat diperlukan untuk menangani punca sebenar inflasi perubatan dan memastikan sistem pelindungan kesihatan swasta lebih berdaya tahan dan inklusif," katanya.

Mengenai isu berkaitan dengan peranan TPA, beliau berkata pihak insurans dan pengendali takaful mempunyai tanggungjawab terhadap pemegang polisi untuk menyemak dan mengurus tuntutan mengikut terma kontrak termasuk mengesahkan tuntutan tersebut berada dalam skop prosedur dilindungi oleh polisi serta perlu secara perubatan.

"Penyemakan ini dibuat semata-mata untuk mengesahkan apa yang dilindungi dan boleh dituntut berdasarkan protokol rawatan yang diterima pakai secara lazim berpandukan garis panduan amalan klinikal termasuk dikeluarkan Kementerian Kesihatan," katanya.

Menurut Lim, dalam kes rawatan tidak mengikut protokol lazim, ITO akan membuat semakan lanjut yang sewajarnya untuk memahami sebab klinikal bagi rawatan tersebut.

"Jika rawatan tersebut didapati perlu secara perubatan, tuntutan mestilah dibayar. Ini penting bagi mengawal inflasi tuntutan perubatan berpunca daripada pembaziran dan penyalahgunaan yang jika tidak dikawal boleh menyebabkan kenaikan premium insurans tidak munasabah dan menjejaskan semua pemegang polisi," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak ITO dan TPA tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penjagaan pesakit, sebaliknya ia kekal sebagai tanggungjawab eksklusif para doktor.

"Jika rawatan disyorkan tidak dilindungi di bawah polisi insurans, bayaran boleh diselesaikan secara langsung oleh pesakit," katanya dan menambah data industri menunjukkan bahawa industri ITO telah mengekalkan purata kadar kelulusan tuntutan melebihi 90 peratus.

-- BERNAMA








#Bank Negara Malaysia #industri perubatan #awatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan #Lim Hui Ying #Dewan Rakyat