Persediaan telah dibuat untuk menerima kepulangan jenazah rakyat Malaysia yang maut dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di Ukraine.

Ketika tinjauan Bernama di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, van-van jenazah sudah tersusun rapi.

Beberapa khemah turut didirikan di perkarangan kompleks.

Dalam satu raptai, anggota tentera daripada Rejimen Askar Melayu Diraja yang lengkap beruniform kelihatan mengusung keranda dengan penuh hormat untuk diberi penghormatan terakhir.

Namun jenazah 43 rakyat Malaysia hanya dijangka tiba di tanah air dalam tempoh tiga minggu lagi.

Seorang pegawai yang terlibat dalam urusan pengendalian jenazah berkata persediaan awal dibuat bertujuan untuk memastikan proses ketibaan jenazah bakal berjalan lancar.

Hari ini hanya satu raptai untuk menyambut jenazah. Ia masih dalam peringkat perancangan dan ia masih belum dimuktamadkan. Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan.

"Satu mesyuarat akan diadakan esok (Khamis) untuk membincangkan secara terperinci proses menyambut ketibaan jenazah nanti, katanya.

Pada 17 Julai lalu, pesawat Boeing 777 MAS yang membawa 283 orang penumpang dan 15 anak kapal terhempas dipercayai akibat ditembak. Tetapi sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukannya.

Setakat ini sejumlah 227 keranda yang mengandungi jenazah mangsa pesawat telah diserahkan kepada pihak berkuasa Belanda yang mengetuai pasukan siasatan antarabangsa.

Kini 21 pakar Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia yang terdiri daripada lapan ahli patologi, lapan ahli forensik odontologi, empat pakar penyiasat lokasi jenayah (CSI) dan seorang pakar DNA berada di Utrecht, Belanda dalam usaha mengenal pasti identiti mangsa nahas.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang ke Belanda hari ini dijangka menyegerakan proses membawa pulang jenazah rakyat Malaysia.

Perdana Menteri dijangka bertemu rakan sejawatannya Mark Rutte di The Hague yang akan mengadakan perbincangan termasuk soal urusan pengecaman mayat, membawa pulang jenazah dan mengheret pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat ke muka pengadilan.