KUCHING: Kerajaan bercadang untuk membina empat mahkamah baharu di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembinaan mahkamah baharu itu melibatkan kawasan Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.

Beliau berkata cadangan projek mahkamah baharu itu kini sedang dipertimbangkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Jelasnya, pembinaan mahkamah baharu di Sarawak adalah penting bagi menampung jumlah kes yang semakin meningkat.

"(Selain itu) saya mendapati masih terdapat banyak mahkamah di Sarawak yang bersidang menggunakan bangunan berkongsi dengan jabatan kerajaan lain.

"(Terdapat juga mahkamah yang) hakim perlu masuk ikut laluan orang awam. Sepatutnya hakim perlu ada jalan belakang untuk naik ke tempat duduk mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching di sini, hari ini.

Selain itu, Wan Junaidi berkata kerajaan juga bercadang untuk membina satu unit kediaman rasmi buat Hakim Besar Sabah dan Sarawak di Kuching.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata di bawah RMK12, kerajaan telah meluluskan sebanyak 14 projek naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan bangunan mahkamah-mahkamah di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM9,212,700.

Katanya, projek naik taraf ini melibatkan Kompleks Mahkamah Kuching, Kompleks Mahkamah Bintulu, Kompleks Mahkamah Miri, Mahkamah Kota Samarahan, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Sarikei.

-- BERNAMA