Skip to main content

Malaysia

Kerajaan cadang naik taraf bahagian penguatkuasaan KPDN selaras cabaran e-dagang - Armizan

 Armizan Ali
Armizan berkata, cadangan itu telah dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri yang mengiktiraf keperluan memperkukuh kapasiti serta keupayaan penguatkuasaan KPDN agar selari dengan cabaran semasa.- Foto/ Astro AWANI/ Shahir Omar

CYBERJAYA: Kerajaan bercadang memperkasa Bahagian Penguatkuasaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), termasuk menilai cadangan menaik tarafnya sebagai sebuah jabatan, susulan peningkatan kes penguatkuasaan khususnya dalam sektor e-dagang.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu telah dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri yang mengiktiraf keperluan memperkukuh kapasiti serta keupayaan penguatkuasaan KPDN agar selari dengan cabaran semasa.

Advertisement

Menurut beliau, kerajaan turut meneliti pendekatan untuk menyelaraskan fungsi penguatkuasaan yang kini dilaksanakan oleh beberapa kementerian agar tidak berlaku pertindihan serta dapat mengoptimumkan sumber sedia ada.

“Kerajaan berpandangan tidak perlu setiap kementerian mempunyai unit penguatkuasaan sendiri. Fungsi tersebut boleh diselaraskan dan dilaksanakan oleh KPDN yang mempunyai pengalaman luas dalam penguatkuasaan perdagangan domestik.

“Di peringkat Jemaah Menteri, sentimen yang dibawa ialah agar fungsi penguatkuasaan kecil yang wujud di kementerian lain, termasuk sektor perladangan, boleh dibantu atau dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan KPDN,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 serta Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, di sini pada Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri KPDN, Datuk Fuziah Salleh; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar serta Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Mengulas lanjut, Armizan berkata langkah berkenaan turut mengambil kira keperluan beberapa kementerian lain yang memerlukan elemen penguatkuasaan, yang boleh disokong secara strategik oleh KPDN.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya kini menjalankan kajian bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meneliti secara menyeluruh cadangan menaik taraf Bahagian Penguatkuasaan tersebut.

“Penambahbaikan ini penting kerana ia akan menjadi antara teras kepada pasukan penguatkuasaan KPDN, selari dengan perancangan kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu atau meminda Akta Perdagangan Elektronik sedia ada.

“Pindaan berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang dan pastinya memerlukan satu komponen penguatkuasaan yang kukuh dan mantap bagi memastikan pelaksanaannya berkesan,” katanya.

Must Watch Video