MALAYSIA

Kerajaan cadang naikkan cukai vape daripada 40 sen kepada RM4 per mililiter

Bernama 07/10/2025 | 07:10 MYT
Lukanisman (foto) berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyelaraskan kadar cukai produk vape dengan produk tembakau konvensional. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya kadar cukai ke atas cecair rokok elektronik atau vape dinaikkan sebanyak 10 kali ganda, daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml).


Ringkasan AI
  • Kementerian Kesihatan mencadangkan kenaikan cukai cecair vape daripada 40 sen kepada RM4 per mililiter bagi menyelaraskan kadar dengan produk tembakau.
  • Cadangan ini dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sebagai langkah kawalan sebelum pengharaman penuh penggunaan vape dilaksanakan.
  • Kadar cukai baharu berdasarkan anggaran sedutan, dengan satu mililiter cecair vape bersamaan 100 sedutan, bertujuan mengurangkan penggunaan dan risiko kesihatan.


Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyelaraskan kadar cukai produk vape dengan produk tembakau konvensional.

"Cukai produk rokok bagi satu batang rokok bersamaan dengan 10 sedutan atau puff yang dihasilkan. Satu kotak rokok pula bersamaan dengan kira-kira 200 sedutan. Bagi produk vape, satu mililiter cecair dikenakan cukai bersamaan 100 sedutan, manakala dua mililiter bersamaan 200 sedutan.

"Kadar cukai yang dicadangkan ialah daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter, dan cadangan ini telah dikemukakan oleh KKM untuk pertimbangan MOF," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu sama ada KKM akan mencadangkan kenaikan cukai produk vape seperti produk tembakau, termasuk menerusi Belanjawan 2026, sebagai langkah segera sebelum pelaksanaan pengharaman penuh penggunaan vape.


#Dewan Rakyat #Lukanisman Awang Sauni #KKM #kenaikan cukai cecair vape #RM4 per mililiter