[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Kerajaan cadang perbanyakkan klinik bantuan guaman, padankan sistem digital - Azalina

Bernama 27/11/2025 | 13:45 MYT
Azalina berkata usaha itu penting bagi memastikan perkhidmatan JBG lebih inklusif khusus bagi komuniti di pedalaman Sabah dan Sarawak. - Gambar Facebook Azalina Othman Said
TUARAN: Kerajaan bercadang memperbanyakkan klinik bantuan guaman Justice on Wheels di kawasan luar bandar dan menyepadukan dengan sistem digital bagi memudahkan proses pendaftaran, komunikasi dan akses nasihat undang-undang kepada rakyat.


Ringkasan AI
  • Kerajaan bercadang memperbanyakkan klinik bantuan guaman Justice on Wheels di kawasan luar bandar dan menyepadukan dengan sistem digital bagi memudahkan akses nasihat undang-undang kepada rakyat, khususnya komuniti di pedalaman Sabah dan Sarawak yang menghadapi kesukaran jarak dan akses fizikal yang terhad.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan perlunya pendigitalan perkhidmatan ini sejajar dengan pindaan undang-undang terkini yang memperkenalkan sistem perbicaraan elektronik dan pemberian nasihat guaman melalui platform digital seperti Chatbox.
  • Kerjasama antara Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dengan pejabat Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut ditekankan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perkhidmatan guaman percuma yang disediakan kerajaan, terutamanya dalam konteks kesukaran mendapatkan khidmat secara fizikal.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata usaha itu penting bagi memastikan perkhidmatan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) lebih inklusif khusus bagi komuniti di pedalaman Sabah dan Sarawak yang berdepan kekangan jarak serta akses fizikal yang terhad.

"Saya dah minta supaya (JBG) memperbanyakkan klinik bantuan guaman dan pada masa sama dipadankan dengan sistem digital sebab walaupun mereka (orang ramai) daftar guna telefon, hampir semua orang ada e-mel.

"Jadi kita nak satu sistem yang boleh diikat (disepadukan) bersama untuk memudahkan komunikasi dan pendaftaran awal," katanya kepada pemberita selepas meninjau program klinik bantuan guaman itu di pekarangan Pasar Awam Tuaran hari ini.

Azalina berkata pendigitalan perkhidmatan itu amat diperlukan selaras dengan pindaan undang-undang terkini yang telah mengaplikasikan sistem perbicaraan elektronik dan pemberian nasihat guaman serta penerimaan dokumen melalui platform digital termasuk Chatbox.

Selain itu, beliau berkata kerjasama antara JBG dengan pejabat Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewujudan perkhidmatan guaman percuma disediakan kerajaan.

"Paling penting masyarakat tahu ada agensi kerajaan yang memberi khidmat guaman percuma sebab kalau nak pelanggan datang secara fizikal, sekarang ini agak susah dan mencabar," katanya.

-- BERNAMA


#sistem digital #klinik bantuan guaman #chatbox #perbicaraan elektronik