Kerajaan cadang selaras kuota dan harga rumah mampu milik di seluruh negara

Bernama
November 1, 2016 07:05 MYT
Setiap negeri mempunyai kuota dan harga yang berbeza mengenai rumah mampu milik. - Gambar fail
Kerajaan bercadang menyelaraskan kuota dan harga rumah mampu milik di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Beliau berkata, kementerian itu sedang menyediakan kertas kerja tersebut dan akan membentangkan perkara itu kepada Majlis Perumahan Negara.
"Kita mahu selaraskan kuota dan harga rumah yang telah ditentukan oleh kerajaan negeri melalui Dasar Perumahan Negeri," katanya kepada media selepas merasmikan seminar 'Pasaran Hartanah Malaysia: Peluang Disebalik Ketidaktentuan', di sini hari ini.
"Kini, setiap negeri mempunyai kuota yang berbeza, ada yang meletakkan 50 peratus, 40 peratus dan ada yang mengambil mudah akan perkara ini.
"Jadi kita akan bentangkan kertas kerja untuk menyelaraskanya berdasarkan kepada nilaian rumah yang dicadangkan oleh kerajaan negeri dalam kuota pembinaan rumah mampu milik yang ditetapkan," katanya.
Beliau bekata kuota perumahan mampu milik di Johor kini 40 peratus, di Negeri Sembilan 50 peratus manakala negeri lain mempunyai kuota yang berbeza, dengan projek perumahan kos rendah turut termasuk di bawah projek rumah mampu milik," katanya.
Halimah berkata Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri turut menyedari akan perbezaan tersebut dan turut mencadangkan agar penyelarasan kuota dan harga dilakukan.
"Pada mesyuarat Menteri-menteri Besar yang diadakan baru-baru ini, Menteri Besar dan Ketua Menteri mengutarakan mengenai isu terbabit.
Seminar tersebut dianjurkan oleh Rahim & Co Research Sdn Bhd, anak syarikat Rahim & Co International Sdn Bhd, bagi memberi gambaran tentang pasaran hartanah di Malaysia serta cabaran yang dihadapi oleh industri.
Dalam perkembangan lain, Halimah berkata sasaran pembinaan satu juta rumah mampu milik menjelang 2018 hampir mencapai sasaran, dengan 723,000 rumah telah dibina dan sedang dalam pembinaan.
"Sebanyak 500,000 unit dibina di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia dan selebihnya menerusi KPKT dan pemaju swasta," katanya.
-- BERNAMA
#halimah sadique #majlis perumahan negara #rumah mampu milik #selaras harga