KUALA LUMPUR: Kerajaan dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) masing-masing membuat keputusan tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bulan lepas yang memberikan keputusan separa kepada NFCorp.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan.

"Tiada notis untuk merayu keputusan itu difailkan atau disampaikan oleh kerajaan atau NFCorp. Tempoh memfailkan notis rayuan tamat pada 12 Nov," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perkara itu juga disahkan Peguam Datuk K. Kirubakaran yang mewakili NFCorp dan 10 lagi defendan.

Oleh kerana tiada rayuan dibuat oleh defendan dan plaintif, maka keputusan Mahkamah Tinggi itu kekal.

Pada 13 Okt lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai memerintahkan NFCorp untuk membayar kepada kerajaan RM33.7 million berhubung Projek Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, Negeri Sembilan.

Anand yang tidak membenarkan kerajaan menuntut sepenuhnya pinjaman berjumlah RM253.6 juta bagi projek itu, sebaliknya mengarahkan NFCorp yang dinamakan sebagai defendan pertama untuk membayar balik kepada kerajaan RM33,743,591.37 yang merupakan jumlah wang pinjaman yang masih tidak digunakan.

Beliau berkata plaintif (kerajaan) berhak terhadap RM86.9 juta yang disita daripada defendan dan pada masa ini dipegang akaun awam secara eskrow (pihak ketiga).

Anand juga memerintahkan kesemua 11 defendan untuk memulangkan tanah di Gemas, Putrajaya dan One Menerung di sini yang dibeli dengan pinjaman itu kepada kerajaan yang merupakan pemilik benefisial hartanah berkenaan.

Hakim itu juga membenarkan tuntutan balas defendan dan memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 sebagai ganti rugi nominal kepada mereka.

Bagaimanapun, Anand berkata plaintif gagal membuktikan sebarang konspirasi untuk menipu kerajaan oleh Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan keluarganya serta syarikat yang di bawah kawalan mereka.

Dalam saman itu, kerajaan selaku plaintif tunggal menamakan Mohamad Salleh, yang merupakan Pengerusi Eksekutif NFCorp dan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta tiga anak mereka, iaitu Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah masing-masing sebagai defendan kedua hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan menyatakan ia menandatangani satu perjanjian dengan NFCorp pada 6 Dis 2007, bagi membiayai kos membangunkan dan mengoperasikan Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, sebagai sebahagian dasarnya untuk mengembangkan dan meningkatkan pengeluaran daging lembu.

Pinjaman itu dibayar dalam tiga tranche dan keluarga Mohamad Salleh didakwa membuat 10 pengeluaran dengan jumlah keseluruhan RM180.51 juta, dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.

-- BERNAMA